Teks & Foto: USU AZHA
HAJI HAMZAH
BATU KURAU – Penduduk di
daerah ini baru-baru ini agak gempar kerana penemuan Bunga Pakma di sebuah
bukit kira-kira 8 kilometer dari pekan Batu Kurau. Bunga Pakma atau lebih
popular dengan panggilan Rafflesia ditemui oleh seorang pekebun yang dikenali
sebagai Abang Mad.
Raffelsia adalah satu
tumbuhan parasit yang sukar ditemui dan habitatnya mula ditemui pada tahun 1818
di Sumatera, Indonesia oleh Dr Joseph Arnold bersama Sir Thomas Stamford
Raffles. Nama Rafflesia diambil sempena nama mereka berdua iaitu Rafflesia
Arnoldi. Rafflesia Arnoldi adalah sepsis yang banyak terdapat di Indonesia,
Filipina, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Di Semenanjung Malaysia pula sepsis
itu hanya terdapat di hutan Royal Belum, Gerik, Perak. Kini yang terbaru,
spesis ini ditemui di Batu Kurau, Perak.
|
YB DATO' DR MUHAMMAD AMIN ZAKARIA
EXCO KERAJAAN NEGERI PERAK/
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI BATU KURAU |
Menurut Presiden Persatuan
Peminat Rafflesia Batu Kurau, Cikgu Zolkurnain, spesis Rafflesia yang ditemui
di Bukit Cerok Kabu diunjuran Banjaran Bintang Hijau ini adalah spesis sama
yang terdapat di Indonesia iaitu spesis Rafflesia Arnoldi. Namun, bagi memberi
penghargaan ke atas penemuan di daerah Batu Kurau, Cikgu Zolkurnain menamakan
spesis itu Rafflesia Batu Kurau.
|
CIKGU ZOLKURNAIN
Presiden Persatuan Peminat Rafflesia Batu Kurau |
Menurut Cikgu Zolkurnain
lagi, pihaknya telah berurusan dengan tuan tanah tempat penemuan Rafflesia Batu
Kurau iaitu Abang Mad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau yang juga Exco
Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Dr Muhammad Amin Zakaria bagi menjadikan lokasi
itu sebagai satu produk pelancongan untuk daerah Batu Kurau. Bertepatan dengan
rancangan Dato’ Dr Muhammad Amin yang akan melaksanakan satu acara dunia di
Batu Kurau pada 27-29 September ini, iaitu Batu Kurau International Mountain
Bike Challenge 2014, penemuan Rafflesia Batu Kurau ini akan memberi impak yang
besar kepada kunjungan para pelancong dalam dan luar negara.
YB Dato’ Dr Muhammad Amin
Zakaria yang turut serta dalam ekspedisi jejak Rafflesia pada Selasa lalu
berkata, pihaknya akan melakukan sesuatu agar Rafflesia Batu Kurau ini akan
dijadikan satu lokasi kunjungan orang ramai agar peminat bunga gergasi ini
dapat melihatnya dari jarak dekat.
“ Saya akan usahakan agar
jalan untuk ke tapak lokasi Rafflesia Batu Kurau lebih selesa dan selamat
kerana sekarang ini jalan untuk menuju ke sana masih kurang dari segi
keselesaannya,”
“ Saya juga akan pastikan
Rafflesia Batu Kurau ini akan dijadikan satu produk pelancongan di Batu Kurau
khususnya dan di negeri Perak amnya,” ujar beliau yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Kerajaan
Negeri Perak.
|
Abang Mat Jepon....kiri sekali, orang pertama yang menemui Rafflesia Batu Kurau |
Rafflesia Batu Kurau yang
ditemui baru-baru ini berukuran 24 inci lebar dan setiap 5 kelopaknya itu
berukuran 12 inci. Rafflesia Batu Kurau ini hidup di atas batu berhampiran
sungai dan di sekelilingnya terdapat pokok kekabu hutan, pokok kasai, pokok ara
payung, pokok pisang hutan dan pokok tepus.
Turut serta dalam
ekspedisi jejak Rafflesia di Batu Kurau itu ialah pengkaji bebas Rafflesia,
Khairil Aslan Rasid. Menurut Khairil Aslan, Rafflesia Batu Kurau yang ditemui
itu sudah hampir dengan jangka hayatnya iaitu mungkin dalam sekitar seminggu
lagi, bunga gergasi itu akan reput. Namun disebelah Rafflesia Batu Kurau itu
terdapat satu lagi Rafflesia yang kudup dan menanti hari untuk berkembang
besar.
|
Khairil Aslan Rasid...pengkaji Rafflesia di Malaysia |
“ Rafflesia yang kami
temui ini sudah agak ‘tua’ dan tak beberapa hari lagi mungkin akan reput dan
akan rebah ke bumi. Tetapi yang hilang akan berganti. Rafflesia kudup yang
bersebelahan Rafflesia itu sedang menanti untuk kembang dan ianya kembang
dengan cantik,” ujar Khairil Aslan yang juga pelumba negara basikal lasak.
Para peminat Rafflesia
yang ingin melihat dari dekat, disarankan tidak berbuat sedemikian buat masa
sekarang kerana perjalanan ke lokasi habitat itu agak merbahaya dan berada
dipuncak yang tinggi iaitu sekitar 1312 kaki dari aras laut.
Menurut Cikgu Zolkurnain,
pihaknya akan bekerjasama dengan YB Dato’ Dr Muhammad Amin dan orang-orang
kampung untuk memperelok perjalanan ke sana agar orang ramai dan peminat
Rafflesia dapat berkunjung dengan selamat dan selesa.