Wednesday 3 September 2014

ADUN BANTU EKONOMI PENDUDUK BATU KURAU

ACARA gilang gemilang yang akan diadakan di Batu Kurau pada 27-28 September ini bukan sahaja sebuah acara untuk mempromosikan Batu Kurau tetapi juga sebagai medium untuk mempertingkatkan lagi ekonomi penduduk Batu Kurau.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau, Dato' Dr Muhammad Amin Zakaria ketika ditemui Harian Batu Kurau berkata bahawa acara ini secara tidak langsung akan membantu penduduk Batu Kurau berniaga dan memperkenalkan produk masing-masing.

Adun Batu Kurau, YB Dato' Dr Muhammad Amin Zakaria prihatin tentang ekonomi penduduk Batu Kurau 


" Kami akan mengadakan satu karnival sempena acara itu yang diberi nama Grand Expo Batu Kurau International Mountain Bike Challenge 2014 dengan tujuan untuk memberi ruang kepada penduduk Batu Kurau mencari rezeki dengan berniaga. Ketika itu nanti ramai orang akan datang ke Batu Kurau termasuk dari luar negara, jadi rebutlah kesempatan ini untuk menjana ekonomi masing-masing," ujar beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak.

Tapak niaga telah dibuka untuk sewaan orang ramai dengan harga amat berpatutan iaitu RM60 untuk 3 hari (tapak 8 x 10 kaki). Tapak ini sesuai untuk penduduk Batu Kurau berniaga pelbagai jenis perniagaan seperti kuih muih, air, makanan ringan dan sebagainya. Manakala bagi khemah seluas 10 x 20 kaki pula bernilai RM300 untuk 3 hari. Khemah ini sesuai untuk berniaga kain baju, cenderamata, produk-produk kesihatan dan sebagainya.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan ruang niaga itu bolehlah hubungi 017-4094486 untuk tempahan. 


Friday 29 August 2014

RAFFLESIA BATU KURAU KEMBANG PADA 31 OGOS INI

RAFFLESIA BATU KURAU yang ditemui baru-baru ini oleh seorang pekebun di Bukit Carok Kabu, beberapa kilometer dari Kampung Sempeneh, telah menjadi satu fenomena bukan sahaja pada warga Batu Kurau, namun bagi peminat Rafflesia di seluruh dunia.

Rafflesia Batu Kurau telah ditemui oleh Md Bakri Bahari atau popular dengan panggilan Mat Jepong ketika membersih persekitaran kebunnya. Setelah mendapat liputan meluas media tentang penemuan itu, Jabatan Perhutanan Malaysia telah berhasrat untuk mengazet kawasan itu bagi menjaga agar habitan Rafflesia Batu Kurau itu tidak rosak.

Khairil Aslan, pengkaji Rafflesia yang juga anak jati Batu Kurau, berasal dari Kampung Pondok Quin

Adun Batu Kurau yang juga Exco Alam Sekitar, Dato’ Dr Muhammad Amin Zakaria kini sedang berusaha menjadikan lokasi tersebut sebuah produk pelancongan bagi Batu Kurau dan negeri Perak amnya.

Seorang pengkaji Rafflesia, Khairil Azlan Rasid yang juga atlit berbasikal negara berkata, Rafflesia Batu Kurau akan kembang mekar pada 31 Ogos ini.



“ Ini adalah bunga Rafflesia Batu Kurau yang terbaru. Yang kami lawati bersama Presiden Peminat Rafflesia Batu Kurau, Zolkurnain Abdullah dan YB Dato’ Dr Muhammad Amin dulu sudah mati. Ini yang terbaru…yang saya ambil semalam dan akan kembang mekar menawan pada 31 Ogos ini, bertepatan dengan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 57,” ujar Khairil Azlan ketika ditemui.

Menurut Khairil Aslan lagi, beliau telah menemui 12 kudup lagi Rafflesia Batu Kurau di sekitar itu dan beliau akan berusaha bersama Mat Jepong untuk menjaga habitat Rafflesia Batu Kurau yang menjadi kebanggaan Batu Kurau.

Thursday 28 August 2014

BATU KURAU SAMBUT MERDEKA DENGAN SALAWAT

ORANG ramai terutamanya yang tinggal disekitar Batu Kurau dijemput hadir ke Arena Batu Kurau pada 30 Ogos, Sabtu ini, jam 9.00 malam untuk bersama-sama menghayati erti kemerdekaan sempena menyambut hari Kemerdekaan negara kita yang ke 57.

Tahun, ini Pusat Khidmat Adun Batu Kurau menganjurkan satu acara yang berkonsepkan kerohanian iaitu menyambut merdeka dengan salawat ke atas Rasulullah dan deklamasi sajak tentang kemerdekaan. Kumpulan Qasidah popular dijemput untuk bersama-sama dengan rakyat Batu Kurau membaca salawat itu nanti.



Kepada semua rakyat Batu Kurau sila datang bersama keluarga, sanak saudara dan teman-teman ke Arena Batu Kurau. Makan minu disediakan sepanjang acara itu.

Menurut Adun Batu Kurau, Dato' Dr Muhammad Amin Zakaria yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak, acara ini adalah acara kerohanian dalam menyambut kemerdekaan dan beliau menyeru agar rakyat Batu Kurau tidak lepaskan peluang ini.

Sunday 24 August 2014

PRESIDEN WARTAWAN PELANCONGAN JAWA BARAT KUNJUNGI BATU KURAU

BATU KURAU kini kian dikenali ramai sehinggakan negara luar juga berminat untuk mengenali Batu Kurau dengan lebih dekat lagi. Semalam, Presiden Wartawan Pelancongan Jawa Barat, Indonesia, Drs Koesna Sudrajat, mengunjungi Batu Kurau sempena Batu Kurau International Mountain Bike Challenge 2014 pada 27-28 September nanti.

" Saya begitu teruja ingin mengenali daerah ini dengan lebih dekat lagi. Kelmarin saya hubungi teman wartawan saya di Batu Kurau dari Bandung untuk menyatakan hasrat saya supaya sampai ke Batu Kurau,"


Drs Koesna Sudrajat, Presiden Wartawan Pelancongan Jawa Barat bergambar kenangan di Gunung Sempeneh


"Alhamdulillah, hari ini saya sudah jejak kaki saya di sini dan saya sungguh merasa takjub dengan keindahan daerah ini. Saya lihat di sini punya potensi besar untuk dijadikan lokasi wisata (pelancongan) dan anugerah Allah terhadap daerah ini jangan disia-siakan," ujar Drs Koesna ketika ditemui wartawan Harian Batu Kurau.

Semalam, Drs Koesna dibawa bersama melihat permandangan di Batu Kurau bersama Kelab Basikal Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang yang ikut serta dalam acara 'test track' sempena Batu Kurau International Mountain Bike Challenge 2014 yang akan berlangsung selama dua hari pada 27 dan 28 September nanti.

Drs Koesna berkata dia akan berusaha mempromosikan daerah Batu Kurau ini di media-media di Indonesia seperti Harian Pikiran Rakyat, Tempo dan beberapa akhbar arus perdana di Indonesia bagi memberi publisiti tentang pelancongan di sini.

MUHAMMAD AMIN BANGGA ANAK MUDA SERTAI PELAPES

BERTEMPAT di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kira 1500 pelajar dari seluruh Malaysia berkumpul di Padang Kawad UPSI untuk menyaksikan upacara Tamat Latihan Pegawai PELAPES. YB Dato' Dr Muhammad Amin Zakaria, Exco Kerajaan Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau yang menghadiri majlis gilang gemilang itu bangga dengan penyertaan anak-anak muda dan memilih menambah ilmu dan kemahiran dalam ketenteraan. 






Menurut YB Muhammad Amin, anak-anak muda Batu Kurau juga disarankan menuntut ilmu dalam bidang ketenteraan kerana mereka yang bakal memimpin masa depan negara perlu cukup ilmu di dada bagi menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan di masa depan.

Majlis Tamat Latihan Pegawai PELAPES itu disempurnakan oleh YTM Tunku Panglima Besar Kedah, Brigadier General Tunku Puteri Dato' Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Friday 22 August 2014

PEKASAM DAGING ZURA NOOR LARIS!


 DULU mungkin kita jarang mendengar tentang pekasam daging. Yang ada Cuma pekasam ikan terubo, ikan lampam, ikan puyu dan lain-lain lagi pekasam dari ikan sungai. Ibu dan nenek kita kebanyakkannya memang mahir membuat pekasam ikan.



Kini, pekasam daging pula timbul ceritanya. Pekasam Daging yang diilhamkan oleh seorang bernama Zura Noor ini menjadi fenomena sehinggakan pekasam daging buatannya ditempah hingga ke merata tempat di Malaysia termasuk di Singapura. Dengan jenama PEKASAM DAGING BATU KURAU, produk asli kelahiran Batu Kurau melalui resepi nenek moyangnya itu, terus menjadi terkenal sehingga membawa nama Batu Kurau ke daerah lainnya.

Zura Noor, anak kelahiran Batu 15, Batu Kurau tak menyangka bahawa produk pekasam dagingnya menjadi terkenal dan mendapat permintaan diluar jangkaan.

Dalam temubual dengan Harian Batu Kurau di kediamannya, Zura Noor berkata dia terpaksa menyiapkan hampir 100 paket Pekasam Daging Batu Kurau untuk dihantarkan kepada agennya yang berada di seluruh Malaysia.

Pekasam Daging Batu Kurau hasil tangan Zura Noor sudah siap sedia untuk dipos ke seluruh negara

Kini, Zura Noor telah menambah keluaran produksinya dengan membuat satu jenama lain iaitu Pekasam Ayam yang juga mendapat sambutan ramai.

Kepada mereka yang ingin mencuba keenakan Pekasam Daging dan Ayam Batu Kurau ini, bolehlah menghubungi di talian 019-4977805.


Menurut Zura Noor lagi, mereka yang berada di luar kawasan Batu Kurau, dia juga menyediakan khidmat pos hingga ke pintu rumah.

KELAS BAHASA INGGERIS DI BATU KURAU BERSAMA MARK JOHN

MULAI 26 OGOS ini, Batu Kurau sudah mempunyai sebuah kelas yang bakal menyerupai rancangan popular di kaca televisyen iaitu Mind Your Language.  Kelas khusus untuk orang Batu Kurau mempelajari Bahasa Inggeris percakapan (English Speaking Class) akan diadakan di pekan Batu Kurau (lokasi akan diberitahu kemudian) dengan tenaga pengajarnya di’import’ dari United Kingdom iaitu Mark John Keeping.

Mark John Keeping, tenaga pengajar dari United Kingdom ini akan membantu penduduk Batu Kurau berbahasa Inggeris


Mark John Keeping yang juga boleh berbahasa Melayu ini akan mengajar pada permulaan setiap hari Selasa,  jam 4 hingga 6 petang . Pendaftarannya sudah dibuka sekarang dan yuran penyertaannya ialah cuma RM25 sebulan.

Kelas ini mendapat perhatian dari Exco Pendidikan Kerajaan Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau, Dato’ Dr Muhammad Amin Zakaria. Muhammad Amin juga membantu dari segi kewangan pada permulaan kelas ini seperti menyediakan tempat (kelas), alatan mengajar dan beberapa yang lain.

" Ilmu itu penting untuk menjadi manusia berjaya," - Dato' Dr Muhammad Amin Zakaria, Exco Pendidikan Kerajaan Negeri Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau.


“ Saya harap kelas yang akan dikendalikan oleh Mark ini dapat membantu penduduk Batu Kurau mendapat ilmu terutama dalam percakapan dalam Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris ini adalah bahasa dunia, sekiranya kita dapat menguasai percakapan dan faham bahasa ini, kita dapat pergi jauh meneroka ilmu-ilmu lainnya,” ujar Muhammad Amin dengan penuh pengharapan.

Sesiapa yang berminat untuk belajar percakapan Bahasa Inggeris ataupun mahu anak-anak mereka menguasai bahasa itu, bolehlah menghubungi Encik Shaarani Zolkurnain bagi tujuan pendaftaran awal ini di talian 013-4857484.