Wednesday 20 August 2014

RAFFLESIA DITEMUI DI BATU KURAU

Teks & Foto: USU AZHA HAJI HAMZAH

BATU KURAU – Penduduk di daerah ini baru-baru ini agak gempar kerana penemuan Bunga Pakma di sebuah bukit kira-kira 8 kilometer dari pekan Batu Kurau. Bunga Pakma atau lebih popular dengan panggilan Rafflesia ditemui oleh seorang pekebun yang dikenali sebagai Abang Mad.

Raffelsia adalah satu tumbuhan parasit yang sukar ditemui dan habitatnya mula ditemui pada tahun 1818 di Sumatera, Indonesia oleh Dr Joseph Arnold bersama Sir Thomas Stamford Raffles. Nama Rafflesia diambil sempena nama mereka berdua iaitu Rafflesia Arnoldi. Rafflesia Arnoldi adalah sepsis yang banyak terdapat di Indonesia, Filipina, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Di Semenanjung Malaysia pula sepsis itu hanya terdapat di hutan Royal Belum, Gerik, Perak. Kini yang terbaru, spesis ini ditemui di Batu Kurau, Perak.

YB DATO' DR MUHAMMAD AMIN ZAKARIA
EXCO KERAJAAN NEGERI PERAK/
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI BATU KURAU
 Menurut Presiden Persatuan Peminat Rafflesia Batu Kurau, Cikgu Zolkurnain, spesis Rafflesia yang ditemui di Bukit Cerok Kabu diunjuran Banjaran Bintang Hijau ini adalah spesis sama yang terdapat di Indonesia iaitu spesis Rafflesia Arnoldi. Namun, bagi memberi penghargaan ke atas penemuan di daerah Batu Kurau, Cikgu Zolkurnain menamakan spesis itu Rafflesia Batu Kurau.

CIKGU ZOLKURNAIN
Presiden Persatuan Peminat Rafflesia Batu Kurau
Menurut Cikgu Zolkurnain lagi, pihaknya telah berurusan dengan tuan tanah tempat penemuan Rafflesia Batu Kurau iaitu Abang Mad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Dr Muhammad Amin Zakaria bagi menjadikan lokasi itu sebagai satu produk pelancongan untuk daerah Batu Kurau. Bertepatan dengan rancangan Dato’ Dr Muhammad Amin yang akan melaksanakan satu acara dunia di Batu Kurau pada 27-29 September ini, iaitu Batu Kurau International Mountain Bike Challenge 2014, penemuan Rafflesia Batu Kurau ini akan memberi impak yang besar kepada kunjungan para pelancong dalam dan luar negara.

YB Dato’ Dr Muhammad Amin Zakaria yang turut serta dalam ekspedisi jejak Rafflesia pada Selasa lalu berkata, pihaknya akan melakukan sesuatu agar Rafflesia Batu Kurau ini akan dijadikan satu lokasi kunjungan orang ramai agar peminat bunga gergasi ini dapat melihatnya dari jarak dekat.

“ Saya akan usahakan agar jalan untuk ke tapak lokasi Rafflesia Batu Kurau lebih selesa dan selamat kerana sekarang ini jalan untuk menuju ke sana masih kurang dari segi keselesaannya,”

“ Saya juga akan pastikan Rafflesia Batu Kurau ini akan dijadikan satu produk pelancongan di Batu Kurau khususnya dan di negeri Perak amnya,” ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Kerajaan Negeri Perak.

Abang Mat Jepon....kiri sekali, orang pertama yang menemui Rafflesia Batu Kurau
Rafflesia Batu Kurau yang ditemui baru-baru ini berukuran 24 inci lebar dan setiap 5 kelopaknya itu berukuran 12 inci. Rafflesia Batu Kurau ini hidup di atas batu berhampiran sungai dan di sekelilingnya terdapat pokok kekabu hutan, pokok kasai, pokok ara payung, pokok pisang hutan dan pokok tepus.

Turut serta dalam ekspedisi jejak Rafflesia di Batu Kurau itu ialah pengkaji bebas Rafflesia, Khairil Aslan Rasid. Menurut Khairil Aslan, Rafflesia Batu Kurau yang ditemui itu sudah hampir dengan jangka hayatnya iaitu mungkin dalam sekitar seminggu lagi, bunga gergasi itu akan reput. Namun disebelah Rafflesia Batu Kurau itu terdapat satu lagi Rafflesia yang kudup dan menanti hari untuk berkembang besar.

Khairil Aslan Rasid...pengkaji Rafflesia di Malaysia
“ Rafflesia yang kami temui ini sudah agak ‘tua’ dan tak beberapa hari lagi mungkin akan reput dan akan rebah ke bumi. Tetapi yang hilang akan berganti. Rafflesia kudup yang bersebelahan Rafflesia itu sedang menanti untuk kembang dan ianya kembang dengan cantik,” ujar Khairil Aslan yang juga pelumba negara basikal lasak.

Para peminat Rafflesia yang ingin melihat dari dekat, disarankan tidak berbuat sedemikian buat masa sekarang kerana perjalanan ke lokasi habitat itu agak merbahaya dan berada dipuncak yang tinggi iaitu sekitar 1312 kaki dari aras laut.

Menurut Cikgu Zolkurnain, pihaknya akan bekerjasama dengan YB Dato’ Dr Muhammad Amin dan orang-orang kampung untuk memperelok perjalanan ke sana agar orang ramai dan peminat Rafflesia dapat berkunjung dengan selamat dan selesa.

No comments:

Post a Comment