Friday, 22 August 2014

SUAMI ISTERI HASIL PRODUK KULIT

WALAUPUN hanya mengusahakan produk kulit secara kecil-kecilan, namun hasil kerja tangan Radzi dan Ramlah ini mendapat sambutan ramai kerana kemasan dan kualitinya Radzi dan Ramlah yang mengusahakan produk kulit seperti beg tangan, beg duit, sarung telefon, tali pinggang dan lain-lainnya secara serius dan mereka bersedia mengambil tempahan ataupun menjual produk yang sudah siap.

Hasil usaha mereka berdua sejak beberapa tahun yang lalu telah berjaya menaikkan ekonomi mereka kerana produk kulit buatan mereka berdua
itu mendapat sambutan ramai.

Radzi atau Janggut menerima tempahan buatan kulit dari serata tempat


“ Buat masa ini saya dan isteri hanya mengusahakan secara kecil-kecilan di rumah. Kalau nak buka bengkel perlu modal yang banyak. Saya juga pernah memohon bantuan perniagaan untuk membuka bengkel sendiri, tapi sampai sekarang masih
belum ada rezeki,” ujar Radzi atau lebih popular dengan panggilan Janggut ini.

Setakat ini, apabila mendapat tempahan, mereka terpaksa mengambil pekerja secara sambilan supaya setiap tempahan orang dapat disiapkan mengikut jadual.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menempah produk kulit dari Janggut, bolehlah hubungi talian 019-5021633, Simpang 3 Gudang.

Thursday, 21 August 2014

GALERI BATU KURAU

BEKAS sebuah Balai Polis Batu Kurau dan bekas Pejabat Penghulu Batu Kurau yang telah ditinggalkan sekian lama mungkin akan dijadikan Galeri Batu Kurau (Mini Muzium). Dalam tinjauan Harian Batu Kurau ramai berpendapat bahawa premis itu sesuai dijadikan Galeri Batu Kurau yang mana ianya akan menyimpan pelbagai khazanah Batu Kurau. Tempat itu juga sesuai dijadikan tempat Pusat Informasi Pelancongan Batu Kurau.

Bekas Balai Polis Batu Kurau sesuai dijadikan Galeri Batu Kurau untuk menyimpan segala khazanah yang berkaitan dengan Batu Kurau


PAKAR GOLOK DI BATU KURAU

BATU KURAU sememangnya sinonim dengan golok, parang atau keris buatan tangan. Sejak zaman dahulu, ramai pembuat golok berkualiti tinggi terdapat di Batu Kurau. Kini, Haji Ali Omar, yang tinggal di Kampung Pantai Besar adalah antara pembuat golok yang kreatif dan bermutu tinggi.

Haji Ali Omar sedia menerima tempahan golok

Haji Ali Omar sering menerima tempahan membuat golok dari anak tempatan dan juga dari luar daerah Batu Kurau. Mereka meminati kesenian pada ukiran golok itu dan golok Haji Ali
Omar juga dari besi yang bermutu tinggi. Haji Ali Omar mendirikan sebuah bengkel pembuatan goloknya di hadapan rumahnya di Pantai Besar.

“ Mulanya saya hanya ingat buat golok ni sekadar mengisi masa lapang. Tetapi kini, setelah mendapat sambutan dan tempahan yang banyak, saya terpaksa tumpukan pembuatan golok ini
secara lebih serius lagi,” ujar Haji Ali Omar ketika ditemui dibengkelnya.

Antara golok buatan tangan Haji Ali Omar

Haji Ali Omar yang sememangnya mempunyai darah seni, penghasilan golok itu dilakukannya dengan amat teliti agar segala ukiran itu nampak cantik dan kemas. Selain berkebolehan membuat golok, Haji Ali Omar juga pernah berlakon teater pada zaman 60an dahulu dan kini anaknya Abdullah Sani (Lah Sanie) adalah antara pemain gitar terbaik.

Sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan golok, sila hubungi 019-5086802



SEDAKA ANJUR KAYUHAN BASIKAL HARI MERDEKA



SEKOLAH Menengah Dato’ Kamarudin melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan menganjurkan sebuah acara kayuhan basikal pada 31 Ogos ini yang diberi nama SEDAKA MERDEKA FUNRIDE 2014 (SMF 2014). Acara yang dianjurkan sempena menyambut hari kemerdekaan negara yang ke 57 ini bertujuan memupuk semangat patriotik di kalangan pelajar sekolah dan penduduk Batu Kurau amnya.



Menurut Pengarah Acara SMF2014, Zolkurnain Abdullah, acara ini diadakan juga sebagai satu pra-event untuk satu acara antarabangsa yang akan berlangsung di Batu Kurau iaitu Batu Kurau International Mountain Bike Challenge 2014 pada 27-29 September akan datang.

ZOLKURNAIN ABDULLAH, Pengarah Acara Sedaka Merdeka Funride 2014
 “ Acara ini terbuka kepada sebuah jenis basikal dan kayuhan akan bermula pada jam 8.00 pagi di Astaka Batu Kurau dan seterusnya melewati Batu 16, Batu 17, Pekan Jelai, Batu 20, Kampung Yaman, Gudang, Jemerang Setar, Sungai Ara, Kampung Haji Mat Asek dan berhenti rehat di Kampung Pantai Besar,”
“ Kemudiannya kayuhan disambung semula dari Pantai Besar melalui Kampung Relang dan tiba kembali pula ke Astaka Batu Kurau,”ujar Zolkurnain ketika ditemui pemberita Harian Batu Kurau.

Hingga kini penyertaan amat menggalakan dan pendaftaran masih dibuka sehingga 30 Ogos ini. Yang menariknya dengan pendaftaran RM35 seorang itu para peserta akan mendapat sehelai t.shirt, goodies bag dan nombor untuk cabutan bertuah.

Add caption

Cabutan bertuah untuk acara ini pula sungguh menarik iaitu basikal mountain bike, basikal Fixie dan banyak barangan lain yang bakal dimenangi oleh para peserta.


Untuk pendaftaran, sila hubungi 013-4857484.   

Wednesday, 20 August 2014

KURSUS ASAS FOTOGRAFI DI BATU KURAU

BAGI peminat fotografi, jangan lepaskan peluang untuk menghadiri Kursus Asas Fotografi yang akan diadakan pada 6-7 September ini bertempat di Kurau Stone Fishing & Highland Stay. Kursus ini bertujuan untuk mengajar secara asas kepada yang meminati fotografi tapi tidak pernah belajar secara formal.
Tenaga pengajarnya didatangkan khas dari Kuala Lumpur, iaitu Saudara Nazmi dari Nazmi Photography Kuala Lumpur yang berpengalaman 30 tahun dalam dunia fotografi antarabangsa. Saudara Nazmi pernah ke beberapa negara luar seperti Indonesi, Afrika, Belanda dan beberapa tempat yang lain untuk pelbagai acara seperti kursus, pameran dan jemputan khas.

 Nazmi Photography..tenaga pengajar di Kursus Asas Fotografi 
di Batu Kurau pada 6-7 September ini

Add caption


Kursus ini dikenakan bayaran RM70 dan para peserta akan mendapat sehelai T.Shirt Eksklusif, makan pagi, minum petang dan sijil. Peserta adalah terhad dan penganjurnya Semambu Photography Batu Kurau menetapkan jumlah maksima peserta adalah hanya 35-40 orang. Sesiapa yang berminat untuk mendaftar, sila hubungi segera Ismail (017-5267614) atau Syikin (017-4094486)

KONVOI TERIMA KASIH CIKGU DI SRK BATU KURAU

SEKOLAH RENDAH KEBANGSAAN (SRK) – Jam 8 pagi tadi sekumpulan motor berkuasa tinggi singgah di sekolah ini dalam konvoi Terima Kasih Cikgu sempena sambutan bulan kemerdekaan. Konvoi moteo berkuasa tinggi itu datang bertemu dengan para guru sekolah dan anak-anak murid bersama pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah.







Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau yang juga Exco Pendidikan Kerajaan Negeri Perak mengucapkan terima kasih kepada konvoi berkenaan kerana memilih Batu Kurau untuk singgah dalam program mereka itu. Pada akhir acara, Muhammad Amin melepaskan kumpulan konvoi itu untuk bergerak ke destinasi lainnya di dalam negeri Perak.

RAFFLESIA DITEMUI DI BATU KURAU

Teks & Foto: USU AZHA HAJI HAMZAH

BATU KURAU – Penduduk di daerah ini baru-baru ini agak gempar kerana penemuan Bunga Pakma di sebuah bukit kira-kira 8 kilometer dari pekan Batu Kurau. Bunga Pakma atau lebih popular dengan panggilan Rafflesia ditemui oleh seorang pekebun yang dikenali sebagai Abang Mad.

Raffelsia adalah satu tumbuhan parasit yang sukar ditemui dan habitatnya mula ditemui pada tahun 1818 di Sumatera, Indonesia oleh Dr Joseph Arnold bersama Sir Thomas Stamford Raffles. Nama Rafflesia diambil sempena nama mereka berdua iaitu Rafflesia Arnoldi. Rafflesia Arnoldi adalah sepsis yang banyak terdapat di Indonesia, Filipina, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Di Semenanjung Malaysia pula sepsis itu hanya terdapat di hutan Royal Belum, Gerik, Perak. Kini yang terbaru, spesis ini ditemui di Batu Kurau, Perak.

YB DATO' DR MUHAMMAD AMIN ZAKARIA
EXCO KERAJAAN NEGERI PERAK/
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI BATU KURAU
 Menurut Presiden Persatuan Peminat Rafflesia Batu Kurau, Cikgu Zolkurnain, spesis Rafflesia yang ditemui di Bukit Cerok Kabu diunjuran Banjaran Bintang Hijau ini adalah spesis sama yang terdapat di Indonesia iaitu spesis Rafflesia Arnoldi. Namun, bagi memberi penghargaan ke atas penemuan di daerah Batu Kurau, Cikgu Zolkurnain menamakan spesis itu Rafflesia Batu Kurau.

CIKGU ZOLKURNAIN
Presiden Persatuan Peminat Rafflesia Batu Kurau
Menurut Cikgu Zolkurnain lagi, pihaknya telah berurusan dengan tuan tanah tempat penemuan Rafflesia Batu Kurau iaitu Abang Mad dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kurau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Dr Muhammad Amin Zakaria bagi menjadikan lokasi itu sebagai satu produk pelancongan untuk daerah Batu Kurau. Bertepatan dengan rancangan Dato’ Dr Muhammad Amin yang akan melaksanakan satu acara dunia di Batu Kurau pada 27-29 September ini, iaitu Batu Kurau International Mountain Bike Challenge 2014, penemuan Rafflesia Batu Kurau ini akan memberi impak yang besar kepada kunjungan para pelancong dalam dan luar negara.

YB Dato’ Dr Muhammad Amin Zakaria yang turut serta dalam ekspedisi jejak Rafflesia pada Selasa lalu berkata, pihaknya akan melakukan sesuatu agar Rafflesia Batu Kurau ini akan dijadikan satu lokasi kunjungan orang ramai agar peminat bunga gergasi ini dapat melihatnya dari jarak dekat.

“ Saya akan usahakan agar jalan untuk ke tapak lokasi Rafflesia Batu Kurau lebih selesa dan selamat kerana sekarang ini jalan untuk menuju ke sana masih kurang dari segi keselesaannya,”

“ Saya juga akan pastikan Rafflesia Batu Kurau ini akan dijadikan satu produk pelancongan di Batu Kurau khususnya dan di negeri Perak amnya,” ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Kerajaan Negeri Perak.

Abang Mat Jepon....kiri sekali, orang pertama yang menemui Rafflesia Batu Kurau
Rafflesia Batu Kurau yang ditemui baru-baru ini berukuran 24 inci lebar dan setiap 5 kelopaknya itu berukuran 12 inci. Rafflesia Batu Kurau ini hidup di atas batu berhampiran sungai dan di sekelilingnya terdapat pokok kekabu hutan, pokok kasai, pokok ara payung, pokok pisang hutan dan pokok tepus.

Turut serta dalam ekspedisi jejak Rafflesia di Batu Kurau itu ialah pengkaji bebas Rafflesia, Khairil Aslan Rasid. Menurut Khairil Aslan, Rafflesia Batu Kurau yang ditemui itu sudah hampir dengan jangka hayatnya iaitu mungkin dalam sekitar seminggu lagi, bunga gergasi itu akan reput. Namun disebelah Rafflesia Batu Kurau itu terdapat satu lagi Rafflesia yang kudup dan menanti hari untuk berkembang besar.

Khairil Aslan Rasid...pengkaji Rafflesia di Malaysia
“ Rafflesia yang kami temui ini sudah agak ‘tua’ dan tak beberapa hari lagi mungkin akan reput dan akan rebah ke bumi. Tetapi yang hilang akan berganti. Rafflesia kudup yang bersebelahan Rafflesia itu sedang menanti untuk kembang dan ianya kembang dengan cantik,” ujar Khairil Aslan yang juga pelumba negara basikal lasak.

Para peminat Rafflesia yang ingin melihat dari dekat, disarankan tidak berbuat sedemikian buat masa sekarang kerana perjalanan ke lokasi habitat itu agak merbahaya dan berada dipuncak yang tinggi iaitu sekitar 1312 kaki dari aras laut.

Menurut Cikgu Zolkurnain, pihaknya akan bekerjasama dengan YB Dato’ Dr Muhammad Amin dan orang-orang kampung untuk memperelok perjalanan ke sana agar orang ramai dan peminat Rafflesia dapat berkunjung dengan selamat dan selesa.